Sunday, August 15, 2010

TUN DATUK PATINGGI TUANKU HAJI BUJANG TUANKU OTHMAN


Dari URL


EKAS GABENOR SARAWAK MENINGGAL DUNIA -TUANKU TUN DATUK HAJI BUJANG B. TUANKU HAJI OTHMAN-Tarikh Peristiwa pada 28-11-1986

Sarawak telah menyertai Malaysia pada 16 September 1963. Setelah menempuh berbagai rintangan dan perundingan akhirnya pada tarikh tersebut Malaysia telah dilahirkan. Sistem pentadbiran negeri Sarawak di bawah Persekutuan Malaysia adalah sama seperti negeri-negeri lain di Semenanjung, di mana urusan pentadbiran peringkat negeri dijalankan serentak dengan urusan-urusan peringkat persekutuan. Sarawak mempunyai Yang Dipertua Negeri sebagai Ketua Pentadbir di peringkat negeri. Salah seorang Yang Dipertua Negeri Sarawak ialah Tun Datuk Patinggi Tuanku Hj. Bujang b. Tuanku Hj. Othman. Beliau adalah Yang Dipertua Kedua bagi Sarawak semenjak di dalam Malaysia. Jawatan ini disandang oleh beliau mulai dari 2 April 1969 hinggalah pada hari ini 28 November 1986 apabila beliau menghembuskan nafas terakhir di kediamannya Sri Embawang di Petra Jaya, Sarawak. Pada hari ini dalam 1986 rakyat Sarawak kehilangan seorang pemimpin yang berkaliber dan dihormati sebagai Yang Dipertua menggantikan Allahyarham Tun Abang Haji Openg. Allahyarham Tuanku Tun Datuk Hj. Bujang telah dilahirkan di Sibu, Sarawak. Beliau telah memulakan perkhidmatan kepada kerajaan dengan menyertai pasukan polis sebagai Sub-Inspektor Percubaan semasa pemerintahan Inggeris dalam tahun 1927, kemudian dinaikkan pangkat sebagai Inspektor Percubaan pada tahun 1934. Allahyarham bertukar kepada Perkhidmatan Awam Sarawak dan kekal di dalam perkhidmatan tersebut selama 26 tahun. Sepanjang perkhidmatannya Allahyarham Tuanku Tun Datuk Hj. Bujang pernah berkhidmat sebagai Leftenan Muda dalam Renjer Sarawak selama sebulan dalam tahun 1941. Beliau pernah dilantik sebagai majistret kelas keempat pada tahun 1934 dan kemudian sebagai pegawai pentadbir division satu pada 1965. Apabila Sarawak menyertai Malaysia, pada 1963 Allahyarham telah dilantik sebagai Senator Dewan Negara.

Allahyarham telah menerima beberapa pingat dan penghargaan sepanjang hayatnya menjalankan tugas kepada negara. Antaranya Allahyarham dianugerahkan Member of The British Empire (MBE) pada 1967 dan Official of The British Empire (OBE) pada 1962, pada 1970 dianugerahkan pula Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) oleh Yang Dipertuan Agong. Pemergian Allahyarham Tuanku Tun Datuk Patinggi Haji Bujang pada hari ini begitu dirasai oleh semua. Allahyarham telah mencurahkan khidmat baktinya dalam memajukan negeri Sarawak di samping sumbangan -sumbangan lain kepada Malaysia keseluruhannya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

No comments:

Post a Comment